Kata Majmuk

>> Saturday, 13 March 2010

KATA majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar. Bentuk yang terhasil bertindak sebagai satu unit dan membawa makna khusus. Contohnya: buku tulis, gambar rajah, campur aduk dan terima kasih.

Kata majmuk buku tulis terdiri daripada dua binaan kata dasar, iaitu “buku” dan “tulis”. Kedua-dua kata yang dirangkaikan itu mempunyai maksud yang khusus, iaitu buku kosong untuk menyurat (sesuatu).

Kata majmuk dieja terpisah. Bentuknya yang wujud itu tidak boleh menerima sisipan unsur lain. Misalnya, rumah sakit ialah kata majmuk kerana tidak dapat disipkan kata lain seperti “yang”. Jika disipkan “yang” di antara kata rumah dengan kata sakit menghasilkan bentuk bahasa yang salah, iaitu “rumah yang sakit”, yakni seolah-olah “rumah” menderita kesakitan (berpenyakit).

Sebaliknya, kerusi meja bukan kata majmuk kerana dapat diselitkan kata hubung “dan” menghasilkan bentuk kerusi dan meja. Bentuk kerusi dan meja ialah binaan frasa nama.
Namun begitu, ada kata majmuk yang dieja bercantum sebagai satu perkataan yang utuh. Bentuk ejaan yang begini dianggap sudah mantap, dan tergolong dalam kecualian ejaan kata majmuk.
Contohnya: beritahu, bimiputera, kakitangan, matahari, olahraga, setiausaha, tandatangan,dan warganegara.

Kata majmuk dapat dibahagikan kepada tiga kelompok, iaitu:

Pertama, bentuk rangkaian kata bebas.
Contohnya: alat tulis, air hujan, gambar rajah, jalan raya, jam tangan, kereta api, Perdana Menteri, tengah hari dan sapu tangan.

Kedua ialah bentuk istilah khusus.
Contohnya: atur cara, cermin mata, garis pusat, kanta tangan, kemas kini, dan urus setia

Akhir sekali ialah bentuk yang membawa makna kiasan, yang dinamakan juga sebagai simpulan bahasa.
Contohnya: anak emas, buah hati, bulan madu, kaki ayam, makan angin, dan ringan tulang.

Kata majmuk dapat digandakan bagi membawa maksud lebih daripada satu. Jika kata majmuk itu digandakan, kata pertama sahaja yang diulang.
Contohnya:

alat tulis - alat-alat tulis
balai raya - balai-balai raya
gambar rajah - gambar-gambar rajah
Menteri Besar - Menteri-Menteri Besar
surat khabar - surat-surat khabar

Bentuk-bentuk ejaan seperti *alat tulis-alat tulis, *balai raya-balai raya, *gambar rajah-gambar rajah, *Menteri Besar-Menteri Besar, dan *surat khabar-surat khabar merupakan bentuk-bentuk kata majmuk yang salah.

Jika kata ganda itu terdiri daripada bentuk yang telah mantap, yakni ejaannya bergabung, maka penggandaannya melibatkan seluruh unsur.
Contohnya:
cenderamat - cenderamat-cenderamata
jawatankuasa - jawatankuasa-jawatankuasa
kakitangan - kakitangan-kakitangan
setiausaha - setiausaha-setiausaha
suruhanjaya - suruhanjaya-suruhanjaya

Selain penggandaan, kata majmuk juga dapat menerima imbuhan. Pengimbuhan kata majmuk berlaku dalam dua bentuk , iaitu dengan awalan atau akhiran.

Kata majmuk yang menerima awalan atau akhiran ejaannya terpisah.
Contohnya:
ambil alih - mengambil alih
campur aduk - bercampur aduk
temu bual - ditemu bual
reka bentuk - direka bentuk
daya serap - daya serapan

Bentuk-bentuk ejaan seperti mengambilalih, * bercampuraduk, *ditemubual, *direkabentuk, dan *dayaserapan merupakan bentuk-bentuk ejaan yang salah kerana menggabungkan keseluruhan unsur kata majmuk tersebut.

Kata majmuk yang menerima apitan ejaannya bercantum.
Contohnya:
putar belit - memutarbelitkan
kuat kuasa - dikuatkuasakan
ramah tamah - keramahtamahan
surat khabar - persuratkhabaran
salah guna - penyalahgunaan

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP