Pemahaman - Diari

>> Thursday, 25 February 2010

Analisa Soalan

Baca petikan diari di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikunya.

12 Januari 2010 (Selasa)

Pagi ini seperti pagi-pagi lainnya, aku bangun awal pagi dan bersembahyang Subuh. Walaupun cuti telah bermula, aku masih bangun awal kerana telah dilatih oleh ayah dan ibu sejak kecil sehingga usiaku 12 tahun kini. Disiplin ini telah menjadi darah daging aku dan keluargaku. Hari ini aku mendapat berita gembira. Ayah memberitahu kami akan ke Terengganu menghadiri majlis kenduri kahwin Kak Ina, kakak saudaraku.

13 Januari 2010 (Rabu)

Malam ini terasa amat lambat berlalu. Aku tidak sabar menanti pagi esok. Kami akan bertolak selepas waktu Subuh. Kata ayah, jam 7.00 pagi semua orang mesti bersedia. Kami akan bertolak jam 7.30 pagi, selepas sarapan. Mata ini tidak terasa mengantuk. Cepatlah tiba pagi Rabu kerana aku akan bertemu dengan abang saudaraku Kamal, adik Kak Ina yang menjadi inspirasiku. Abang Kamal seorang juruterbang MAS. Dia telah menjadi juruterbang sejak dua tahun lalu. Aku ingin menemuinya dan mendengar ceritanya. Aku juga berasa gembira akan bertemu adik abang Kamal, Amirul yang berusia 14 tahun.

14 Januari 2010 (Khamis)

Aku menjadi bahan tertawa keluarga hari ini. Apa tidaknya, aku terlewat bangun, mungkin sebab terlalu lewat tidur malam tadi. Kata ibu, aku seperti orang mengigau. Berjalan sambil mata terpejam dan ketika ibu mengarahkan aku segera mandi dan sembahyang Subuh, aku telah membuka pintu almari yang kusangka pintu bilik mandi. Semua tertawa mendengar cerita ibu. Begitulah bahagianya keluarga kami. Ah, inilah hari yang kunantikan. Abang Kamal .... Amin datang .... Kami bertolak jam 7.45 pagi dan tiba di Kuala Terengganu jam 1.30 tengah hari. Mak Long Minah telah menyediakan makan tengah hari yang sangat sedap.

15 Januari 2010 (Jumaat)

Aku rasa bagai hendak melompat dan memeluk abang Kamal apabila melihatnya berdiri di muka pintu rumahnya dengan pakaian seragamnya. ”Abang baru balik?” sapaku gembira. ”Ya, Amin sampai semalam ya?” tanyanya lagi. Aku mendekatinya dan bersalaman. Dia memegang bahuku dan kami duduk di sofa. Aku membelek pakaian seragamnya yang sangat mengagumkan aku. Dia membuka topi dan menyarungkannya ke kepalaku. Wah, seronoknya dapat pakai topi juruterbang. Abang Kamal tertawa besar apabila aku berlagak seperti juruterbang yang sedang memandu kapal terbang. ”Nanti, bila Amin besar nak jadi juruterbang macam abang Kamal ke?” tanya abang Kamal. ”Ya” jawabku penuh yakin. ”Insya-Allah, belajar rajin-rajin ya?” katanya. Aku mengangguk dan abang Kamal ke biliknya membiarkan aku dengan impianku. Dia berjanji akan bercerita tentang tugasnya kepadaku malam ini.

oleh Faziah Sulaiman
1. Siapakah nama aku dan berapakah umurnya?

A. Ina berusia 12 tahun
B. Amin berumur 12 tahun
C. Kamal berusia 2 tahun
D. Amirul berusia 14 tahun

2. Mengapakah aku dan keluarganya ke Kuala Terengganu?

A. menghadiri majlis kenduri kahwin
B. bertemu dengan Abang Kamal
C. bertemu dengan Amirul
D. pergi bercuti

3. Mengapakah aku ditertawakan oleh keluarganya?

A. lewat bangun dan silap membuka pintu bilik mandi
B. berangan-angan menjadi juruterbang
C. bermain dengan sepupunya Amirul
D. seronok memakai topi juruterbang

4. Apakah cita-cita aku apabila dewasa nanti dan siapakah sumber inspirasi aku?

A. menjadi doktor seperti ayahnya
B. menjadi guru seperti Makcik Minah
C. menjadi juruterbang seperti Abang Kamal
D. menjadi jurutera seperti saudara sepupunya Kak Ina

5. Pada pendapat anda, apakah keistimewaan menjadi juruterbang?

I. gajinya lumayan
II. dapat melihat pelbagai negara di seluruh dunia
III. pekerjaan yang terjamin dan sangat selamat
IV. seronok bekerja melayan tetamu yang berbilang bangsa

A. I dan II sahaja
B. III dan IV sahaja
C. I, II dan III sahaja
D. II, III dan IV sahaja

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP